Sunday, 11 December 2011

Indahnya CiptaanNya

Mensyukuri Nikmat Allah

SAJAK
Syukur aku
Dilahirkan di sini
Suasana nyaman indah sekali
Perutmu sarat dengan hasil bumi
Yang pastinya mampu meningkatkan ekonomi

Syukur aku
Dibesarkan di sini
Hidup bersama pelbagai fauna
Yang jarang-jarang kita temui
Yang kadang-kadang menimbulkan
Misteri
 
Syukur aku
Miliki pertiwi ini
Yang membiakkan flora yang amat bererti
Selain menjadi sumber rezeki
Pelbagai penyakit, kau ubati.

Akan ku pertahankan khazanah ini
Akan kucantas tangan-tangan liar
Yang berhasrat menguburkan hayatmu
Kerana ku amat menghargai
Jasamu nan luhur dan abadi.

Nazam Kecanggihan Akal

Flora dan fauna menghiasi alam semester,
Menyimpan rahsia kepelikan alam buana.

Di muka bumi ada banyak jenis tumbuhan,
Termasuk juga yang pelik mencabar fikiran.

Aneka bunga hidup subur keliling kita,
Kumpulkan maklumat serta kayakan minda.

Ilmu pengetahuan perlu dicari sentiasa,
Bersumberkan buku ataupun secara maya.

Kembara Sejarah

Pantun pengembaraan

Pokok beringin pokoklah saka,
Subur tumbuhnya berdaun lebat ,
Laksamana Cheng Ho pergilah ke Melaka,
Dua negara jadilah sahabat.

Cantik nian bunga angsana,
Cantik juga bunga siantan,
Sultan Muhammad ke negeri China,
Membawa  misi teguh persahabatan.

Bunga lengkuas bungalah kantan,
Jadi ramuan hidangan suri,
Munsyi Abdullah pergi ke Kelantan,
Ilmu pengetahuan tujuan dicari.

Bakul diletak didalam talam,
Penuh berisi buah peria,
Anak Malaysia di serata alam,
Membawa miksi keamanan dunia.

PANTUN NASIHAT

Burung kenek-kenek,
            Hinggap di atas dahan,
Pesan datuk nenek,
            Patuh perintah Tuhan.

Burung kenek-kenek,
            Hinggap di Pohon Kelapa,
Pesan datuk nenek,
Patuhilah ibu bapa.

Burung kenek-kenek,
            Hinggap di pohon Sena,
Pesan datuk nenek,
            Jadi orang berguna.

WARISAN ALAM

Pelik tetapi Benar

Pokok Periuk Kera
Hidup subur di tanah tinggi. Mendapatkan makanan dengan memerangkap serangga yang datang menghampirinya.Terdapat tiga bahagian utama pokok ini, iaitu kantung, mulut dan penutup. Mulutnya berbentuk corong dan permukaan dalm keras,licin dan bergerigi. Bahagian dalam kantung terdapat cecair berenzim yang keluar melalui kelenjar dinding kantung. Dinding yang licin memerangkap serangga  dan bahagian penutup yang berkelenjar akan tertutup menghalang serangga keluar daripada kantung. Serangga akan dicerna oleh enzim lalu zat yang terurai akan diserap sebagai makanan.

Tumbuhan satu sel
Tumbuhan satu sel membentuk kumpulan besar dikenali sebagai alga. Alga tumbuhan paling ringkas di dunia. Tumbuhan ini tidak mempunyai akar, batang atau daun. Alga terapung di permukaan tasik atau lautan dan kebanyakkan alga berwarna hijau.

Rumpai Laut
Sejenis tumbuhan yang terdapat di laut. Tergolong dalam kumpulan alga. Tetapi ianya mempunyai banyak sel. Biasanya berwarna hijau, merah dan perang. Contoh Ulva atau salad laut yang berwarna hijau.

Pokok Sundew
Tumbuhan tanah gambut. Memperolehi makanan dengan cara memerangkap serangga. Sundew diselaputi tentakel yang mengeluarkan cecair pekat. Serangga yang menghampiri akan terlekat pada daun. Tentakel akan menghasilkan enzim penghadaman untuk menghancurkan bahagian badan serangga yang lembut.

Pengayaan

Soalan

1.      Apakah bunga yang terbesar di dunia ?
2.      Apakah tumbuhan yang terawal di muka bumi ?
3.      Mengapakah tumbuhan condong ke arah matahari ?
4.      Mengapakah tumbuhan menghasilkan bunga?
5.      Apakah tumbuhan yang boleh hidup di padang pasir?
6.      Mengapakah Dedalu menumpang pada pokok lain ?